Tinjauan Kritis terhadap Buku Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin

Oleh: Prof Frank Griffel
Diterjemahkan oleh: Shuhaib Ar Rumy Ismail

The American Journal of Islamic Social Sciences 28:4, International Institute of Islamic Thought (IIIT), 2011, 124–127.

Buku ini kelihatan seperti sebuah kajian akademik yang serius dalam lapangan teologi Islam. Ia dibahagikan kepada sembilan bab yang berasaskan sebuah hujah keseluruhan dan mempunyai banyak nota akhir, memetik sumber-sumber Muslim dan literatur yang dihasilkan dalam bidang pengajian Islam. Pengarang buku ini bertugas dalam lingkungan institusi-institusi kerajaan dan badan-badan pemikir di Washington. Bukunya datang dengan sebuah kata pengantar dan tidak kurang daripada sepuluh kata-kata sokongan oleh rakan-rakan Reilly, yang memuji kedalaman pengetahuan, wawasan, dan keupayaan beliau untuk menganalisa dan menjelaskan perihal fikiran Muslim. Saya tertanya-tanya sama ada mereka sedar atau tidak bahawa buku yang mereka sokong itu adalah, sebenarnya, sebuah sanggahan Katolik terhadap teologi Muslim Ash‘ariyyah, cabang utama teologi Sunni. Bagaimanapun, Reilly telah mengecualikan teologi Syiah daripada kritik kerasnya.

Hujah utama Reilly adalah bahawa pada tahun-tahun awalnya, teologi Islam telah menolak kewibawaan akal dan terlalu bergantung pada wahyu. Perkara ini telah membawa kepada sebuah “pembunuhan intelektual sendiri,” kepada sebuah “budaya yang tidak berfungsi berasaskan sebuah teologi cacat” (198), dan kepada “layanan kebudak-budakan pada soal moral dalam kalangan kebanyakan Muslim” (76). Menurut Reilly, masalah tersebut bermula pada abad kesepuluh masihi. Sebelumnya, Islam sangat terbuka untuk menerima pemikiran dan falsafah Yunani. Ekspresi yang paling jelas pada penetapan fikiran rasional ini adalah pada gerakan teologi Muktazilah, yang menemui kegemilangannya pada abad kesembilan dan sepuluh masihi. Pun begitu sekitar abad kesebelas masihi, golongan Muktazilah mengalami kekalahan intelektual ditangan golongan Ash‘ariyyah yang serba fideistik, yang, menurut Reilly, merupakan sebab ke atas “luka Sunni Islam yang paling dalam.” (4). Ash‘arisme telah memutuskan fikiran Sunni daripada realiti dengan pertamanya menafikan bahawa akal adalah sebuah sumber pengetahuan dan keduanya dengan menegaskan bahawa realiti tidak dapat diketahui (4). Maka dia telah menjadikan realiti sebagai sesuatu yang tidak relevan dalam Islam Sunni.

Dalam bahagian awal bukunya, Reilly menulis dalam kerangka dikotomi gampang yang membezakan “akal” dan “falsafah” melawan “agama” dan “wahyu,” yang membenarkan beliau untuk menghimpun seluruh karya-karya kajian Islam daripada Barat pada sekitar abad ke-19 dan ke-20 masihi dan mengerahnya sebagai sumber kekuatan hujah beliau. Reilly banyak menggunakan karya-karya daripada T. J. de Boer (diterbitkan pada 1903), D. B. MacDonald (juga pada 1903), atau bahkan Chateaubriand (1811). Bagaimanapun, kedudukan Reilly terzahir dengan jelas pada bahagian seterusnya dalam bukunya, yang berpegang pada “perdamaian akal dengan wahyu” yang digagaskan oleh Thomas Aquinas (m. 1274). Oleh kerana Gospel of John memperikan Yesus sebagai logos, Kristian, ujar Reilly, telah hampir sepenuhnya mencapai keseimbangan antara akal dan wahyu. Reilly mempertahankan ucapan kritik oleh Paus Benedict XVI berkenaan teologi Muslim (56–58) dan mengakhiri bukunya dengan saranan bahawa Islam Sunni dapat membetulkan keadaannya dan menggunakan teologi Katolik Thomisme (199). Buku Reilly adalah sebuah buku yang agak baik penulisannya namun masih tetap merupakan sebuah tour de force sanggahan teologi yang cetek pengetahuannya.

Reilly, secara fundamentalnya, telah gagal memahami tugas akal dalam sejarah intelektual Islam. Dalam hal ini, beliau sebahagiannya dapat dimaafkan kerana kesalahan beliau berakar daripada kesalahan generasi awal sarjana-sarjana Barat dalam bidang pengkajian Islam. Kesalahan analisis beliau adalah dalam tiga hal: pertama, falsafah Yunani tidak ditinggalkan atau dibuang keluar kepinggiran setelah abad kesebelas masihi, seperti yang telah didakwa oleh Reilley dan lain-lain. Bahkan sebenarnya ia terus dilanjutkan dalam literatur keagamaan sehinggalah ke revolusi pendidikan pada abad ke-19 dan 20 masihi. Keduanya, pada dakwaan yang menjadi sandaran Reilly berkenaan teori ontologi Ash‘ariyyah tentang keserbamungkinan (okasionalisme), yang menganggap setiap peristiwa sebagai diciptakan serta-merta pada ketika itu juga oleh Tuhan dan kelihatannya menafikan sebab dan akibat dalam setiap ciptaan Tuhan. Ujar Reilly, inilah sebab utama mengapa golongan Sunni (sangka beliau) menjarakkan diri mereka daripada realiti dan mengakibatkan pembunuhan intelektual mereka sendiri (intellectual suicide). Pertamanya, Reilly tidak sedar bahawa lawan teori ontologi yang digelar sebab dan akibat kedua (secondary causality) tersebut juga mempunyai pengikutnya dalam kalangan Ash‘ariyyah. Kedua, malahan, dalam kalangan yang percaya pada keserbamungkinan tersebut, keserbamungkinan mereka tidak memberi kesan kepada sikap praktikal mereka terhadap hubungan sebab dan akibat, dan terhadap sains tabii. Sarjana-sarjana Muslim telah menolak “materialisme”—yakni, idea bahawa segalanya bukan ciptaan Tuhan. Reilly telah tersalah faham akan hal ini dan menganggapnya sebagai sebuah pertentangan terhadap hukum alam (65). Dia menyorot serangan al-Ghazālī (m. 1111) terhadap penjelasan sebab dan akibat yang sebenarnya adalah sebuah sanggahan falsafah pada sifat keterwajipan, dan ini justeru telah dipetik di luar daripada konteks perbahasan asal al-Ghazālī. Walau bagaimanapun, al-Ghazālī pernah menjelaskan bahawa peristiwa-peristiwa mempunyai sebab-sebab yang segera juga sebab-sebab yang jauh dan kita seharusnya mengkaji mereka. Meskipun beliau mungkin berpegang pada ontologi keserbamungkinan, al-Ghazālī dan para pengikut setelahnya percaya bahawa Tuhan telah mencipta dunia ini menurut beberapa hukum alam tertentu dan hukum-hukum ini tidak akan berubah. Ketiga, mengangkat Muktazilah sebagai pembela rasionalisme mempunyai tradisi yang panjang di Barat, akan tetapi sarjana-sarjana di awal abad ke-20 telahpun memahami bahawa penegasan mereka pada kebebasan berkehendak manusia dan ketidakupayaan Tuhan untuk menjadi zalim atau melakukan kejahatan menjurus kepada sebuah sikap moralistik yang amat keras. Ash‘ariyyah sungguh telah mengajar bahawa perbuatan-perbuatan manusia telah ditetapkan oleh Tuhan dan justeru—di peringkat metafizik—merampas kebebasan berkehendak manusia. Akan tetapi di sini, sekali lagi, kita harus membezakan antara penjelasan metafizik dan sikap praktikal harian. Fakhr al-Dīn al-Rāzī (m. 1210) telah mengajarkan bahawa di sebalik ketetapanNya, Tuhan telah memberikan memberikan manusia teraan atau anggapan bahawa mereka punya kebebasan berkehandak dan menjadikan mereka sepenuhnya bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan mereka, dan al-Ghazālī—yang merupakan tertuduh utama Reilly dalam kesnya melawan Islam Sunni—tanpa henti bertegas bahawa takdir Tuhan seharusnya tidak membawa kepada kelambanan, kemalasan atau malah kepada fatalisme.[1] Mengapakah faham takdir menyiratkan sebuah keterputusan daripada realiti? Kita boleh mendapati majoriti dalam kalangan ahli kosmologi hari ini akan berpihak pada pandangan akan sebuah alam yang sepenuhnya telah ditetapkan (fully determined). Kebebasan berkehendak manusia amat sukar untuk dipertahankan apabila kita mengkaji dengan lebih mendalam akan mengapa minda kita melakukan apa yang ia lakukan.

Gubahan kata, petikan, dan analisis Reilly yang candakia telah berjaya menciptakan sebuah pembacaan yang mengashikkan. Beliau berjaya mengajukan penyakit-penyakit yang sah yang memberi kesan kepada masyarakat Muslim masakini—yang utamanya adalah Jihadisme dan anti-Semitisme—akan tetapi cara beliau merangka “minda Muslim” daripada petikan beliau adalah tersangat Orientalis dan hampir saja bersifat rasis. Terdapat banyak kesalahan maklumat, mendakwa bahawa buku-buku tulisan Muktazilah telah dibakar (20), atau bahawa menganut faham Muktazilah boleh dihukum bunuh (41), mengusulkan bahawa kehidupan intelektual di bawah Islam teramat ganas dan menindas. Terdapat banyak juga hubungkait yang gagal. Apakah kaitan antara anti-Semitisme dan terorisme Muslim dengan kegagalan dalam mengenal-pasti sebab-sebab (yang beliau andaikan)? Bukankah mereka sebenarnya melihat terlalu banyak sebab-sebab? Reilly menyembunyikan daripada pembaca-pembacanya hakikat bahawa kebanyakan Jihadis sekarang bukanlah daripada golongan Ash‘ariyyah akan tetapi daripada golongan Salafi, yang menolak ajaran Ash‘ariyyah. Gagasan-gagasan intelektual daripada golongan seperti Osama bin Laden bukanlah berasal daripada al-Ghazālī, akan tetapi adalah berasal daripada Ibn Taimiyyah (m. 1328); dan Ibn Taimiyyah bahkan telah menghujat–lawan faham keserbamungkinan (okasionalisme) dan fatalisme dan sangat menekankan soal tanggungjawab moral. Malah, kita mungkin dapat mengajukan bahawa gejala Jihadisme adalah berkemungkinan besar merupakan waris moralisme Muktazilah berbanding mana-mana elemen dalam pemikiran Ash‘ariyyah.

Akhir sekali, buku Reilly ini adalah sebuah literatur perang, yang mengisahkan kepada kita dengan perkataan-perkataan yang kelihatan fasih lagi cendekia akan mengapa cara fikir kita adalah benar dan cara fikir musuh adalah salah. Sama ada “kita” itu adalah para Katolik di Amerika, para penganut Kristian, atau mungkin keseluruhan warga Amerika sengaja kekal kabur di dalam buku ini. Reilly juga telah memperdaya para pembacanya tentang siapakah musuh yang sebenarnya. Dalam tajuk bukunya, dia melompat daripada istilah Muslim kepada Islamis. Dalam polemik, perbezaan halus sedemikian selalu terlepas pandang, yang kerana demikian adalah sebab mengapa sebuah sanggahan teologi terhadap Islam Sunni dapat dikelirukan dengan mudah dengan sebuah alat propaganda dalam Perang Melawan Keganasan.

 

Frank Griffel, Profesor Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Agama, Universiti Yale. Beliau adalah pengarang buku Al-Ghazali’s Philosophical Theology.

 

[1]      Al-Ghazālī, Faith in Divine Unity and Trust in Divine Providence, trans. D. B. Burrell (Louisville, KY: Fons Vitae, 2001), 55–149.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s